USAHA JAYA BAKTI

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah menjadi sekolah berprestasi tinggi peringkat kebangsaan pada tahun 2013

Friday 8 July 2011

berbudi bahasa budaya kita

        Selamat pagi dan selamat sejahtera. Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Encik Lim Hai Lam, guru-guru, dan murid-murid yang saya hormati. Sempena pelancaran kempen berbudi bahasa baru-baru ini, tajuk syarahan saya juga berkisar tentang budi bahasa iaitu "Berbudi Bahasa Budaya Kita".

Hadirin sekalian,
        Sebagai manusia, kita sentiasa terikat oleh budi dan bahasa. Berbudi bahasa akan mengeratkan perhubungan sesama manusia. Pepatah Melayu ada mengatakan, "Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa". Hal ini, menunjukkan betapa pentingnya amalan berbudi bahasa dan perlu dipraktikkan dalam kehidupan.

        Setiap agama menyeru supaya penganutnya berbudi bahasa. Masyarakat akan menyanjung orang yang memiliki budi bahasa yang luhur.

Hadirin yang dihormati sekalian,
        Kita hendaklah berbudi bahasa kepada semua orang tanpa mengira pangkat, bangsa, agama, dan usia. Amalan berbudi bahasa ini akan membentuk individu yang bersahsiah tinggi dan bermoral. Oleh itu, amalan ini hendaklah disemat di dalam jiwa setiap insan.

        Budi bahasa juga tidak dapat dijual beli. Hal ini demikian kerana budi bahasa mempunyai hubungan yang rapat dengan perasaan, kelakuan, dan tutur kata seseorang.

        Oleh itu, saya ingin menyeru kepada anda semua agar terus memupuk amalan berbudi bahasa dalam kehidupan kita sehari-hari agar keharmonian dalam masyarakat terjamin. Sebagai mengakhiri syarahan saya pada pagi yang mulia ini, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun yang berbunyi:
        
        Yang kurik itu kendi,
        Yang merah itu saga;
        Yang molek itu budi,
        Yang indah itu bahasa.

Sekian, terima kasih.

2 comments: