Sejak telefon dicipta penggunaannya terus mendapat perhatian masyarakat dunia. Kalau dahulu hanya satu jenis telefon sahaja yang digunakan, kini pelbagai bentuk, saiz dan jenis telefon telah dihasilkan dan digunakan secara meluas seperti telefon mudah alih serta telefon awam. Penciptaan telefon amat membantu dalam merapatkan hubungan dan memudahkan kehidupan manusia dalam pelbagai cara.
Kelebihan utama telefon ialah ciptaan ini boleh menyalurkan maklumat menerusi suara dari satu tempat ke tempat lain di dunia ini dengan mudah. Seseorang yang berada di Malaysia boleh berhubung dengan rakannya di Amerika Syarikat dengan begitu mudah lalu merapatkan hubungan kerana mereka tidak selalu berpeluang untuk bertemu. Jadi, telefon sememangnya merapatkan hubungan kerana mampu menghubungkan manusia di seluruh ?dunia ini.
Selain itu, telefon juga menyediakan pelbagai perkhidmatan terutama perkhidmatan pesanan ringkas atau lebih dikenali sebagai SMS. Perkhidmatan ini begitu mudah dan unik tetapi berkesan kerana pengguna hanya perlu menaip pesanan lalu menghantarnya menggunakan telefon kepada rakannya tanpa menggunakan suara. Maka, perkhidmatan SMS sebegini menjadikan seseorang itu begitu suka untuk berhubung dengan orang lain.
Harga telefon dan perkhidmatannya yang saban tahun bertambah murah turut menjadi faktor teknologi ini menjadi pilihan masyarakat untuk berhubungan sesama mereka. Hampir setiap individu memiliki telefon terutama telefon mudah alih yang boleh dibawa ke mana-mana tempat dan senang untuk dihubungi sepanjang masa. Oleh itu, kos untuk memiliki telefon mudah alih ini tidaklah terlalu tinggi bagi membolehkan sesiapa sahaja memilikinya.
Konklusinya, telefon memang memudahkan perhubungan dua hala manusia. Semua pihak sudah mula menyedari kelebihan telefon ini lalu memiliknya demi kemudahan bersama. Tambahan pula, dengan terciptanya pelbagai jenis telefon canggih pada hari ini, dilengkapi dengan kamera, video, kemudahan internet dan sebagainya akan lebih memudahkan perhubungan manusia. Namun begitu, penggunaan telefon oleh pelajar-pelajar sekolah perlulah dikawal oleh para ibu bapa supaya telefon tidak disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik.
No comments:
Post a Comment