USAHA JAYA BAKTI

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah menjadi sekolah berprestasi tinggi peringkat kebangsaan pada tahun 2013

Friday, 14 October 2011

KEJADIAN BULI DALAM KALANGAN REMAJA

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia

KEPENTINGAN BAHSA INGGERIS

Menjelang tahun 2003, bahasa Inggeris telah mula digunakan dalam pendidikan di Malaysia. Sistem ini dimulakan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar untuk mata pelajaran sains dan matematik. Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan kepada pelajar tahun 1 serta pelajar tingkatan 1. Beberapa tahun kemudian, semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pendidikan sains dan matematik. Biarpun program ini diliputi dengan pelbagai kontravesi namun tindakan kerajaan melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan memberi pelbagai kebaikan.

Antara faedah menguasai bahasa Inggeris dalam pendidikan adalah bagi membolehkan pelajar menguasai isi pelajaran yang kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, memandangkan beberapa mata pelajaran penting seperti sains, matematik, teknologi maklumat dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris maka kegagalan pelajar menguasai bahasa ini akan melemahkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang disebutkan tadi. Pepatah Melayu pernah menyebut, “kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”. Begitulah juga halnya, jika penggunaan bahasa Inggeris tidak dimulai dari sekarang, selagi itulah para pelajar akan ketinggalan dalam mata pelajaran tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Inggeris adalah amat perlu dikuasai agar para pelajar dapat memperoleh ilmu npengetahuan yang kebanyakannya hanya dapat diperoleh melalui kemahiran berbahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris juga penting dalam pendidikan di negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Penguasaan bahasa inggeris yang dimulakan dari sekolah mampu melahirkan individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh dunia. Sebagai contohnya, kemahiran berbahasa Inggeris amat penting apabila seseorang individu ditugaskan di luar Negara atau membawa misi negara di luar negara. Kegagalan berkomunikasi dengan berkesan menggunakan bahasa Inggeris akan menjejaskan pelbagai peluang baik berupa peluang ekonomi mahupun sosial. Jelasnya, pendidikan bahasa Inggeris di peringkat sekolah mampu melahirkan individu yang “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan masyarakat lain di seluruh dunia.

Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan juga penting kerana dengan penguasaan bahasa tersebut para pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan baik dapat berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Memandangkan bahasa Inggeris telah diterima sebagai bahasa antarabangsa, kebanyakan universiti teragung di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Jika seseorang pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik maka peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah lebih cerah. Sebagai contohnya, institusi pendidikan swasta seperti kebanyakan institusi pendidikan swasta di negara kita juga telah mengimplementasi penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar mereka di institusi pendidikan tinggi swasta. Oleh yang demikian, para pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi perlulah menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga penting kepada para pelajar bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pada masa depan. Perlu diingat bahawa majikan akan lebih tertarik untuk mengambil pekerja yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa Inggeris. Sebagai contohnya, pekerjaan dalam bidang telekomunikasi, penyiaran, teknologi maklumat dan sebagainya amat memerlukan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh itu, lepasan sekolah atau universiti yang mahir berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Tambahan pula, mereka yang mahir berbahasa Inggeris lebih diminati oleh majikan dari syarikat-syarikat besar yang biasanya menawarkan pendapatan lebih lumayan. Jelasnya, bahasa Inggeris amat penting dipelajari di sekolah demi memanfaatkan pelajar bagi tujuan membina kerjaya pada masa yang akan datang.

Sementara itu, kemajuan ekonomi negara yang telah melepasi sempadan negara, mengakibatkan Malaysia memerlukan penduduk yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik agar dapat bersaing dengan mereka dari seluruh dunia. Pendidikan bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa. Sebagai contohnya, perkongsian dalam bidang ekonomi, sosial mahupun bidang teknologi memerlukan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Umumnya, mereka yang gagal menguasai bahasa ini akan berdepan dengan pelbagai rintangan yang dapat mengganggu komunikasi serta boleh menggagalkan peluang yang tersedia pada peringkat antara bangsa. Justeru, pendidikan bahasa Inggeris di sekolah berperanan membina masyarakat yang lebih berdaya saing pada peringkat global suatu hari nanti.

Intihanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua pelajar. Seseorang yang dapat menguasai bahasa ini akan lebih berkeyakinan dan mampu merebut peluang yang tersedia sama ada pada peringkat nasional atau pada peringkat antara bangsa. Namun begitu, biar bagaimana penting sekalipun bahasa Inggeris ini digunakan oleh masyarakat antarabangsa namun penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara amat perlu dipertahankan dan dipertingkatkan martabatnya. Kita tidak mahu bahasa rasmi kita pupus akibat kelalaian kita mengagungkan bahasa Inggeris umpama kata pepatah Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.

PENDERAAN KANAK-KANAK

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.

Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.

Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.

Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.

Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.

Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.

Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.
.
Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
.Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
.Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

KEPENTINGAN MEMULIHARA DAN MENGEKALKAN BANGUNAN BERSEJARAH

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita..

Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
.

SEMANGAT KEJIRANAN

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingan.

Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.
Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

 
.Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

 
.Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

Sunday, 9 October 2011

KESAN PEMANASAN GLOBAL

Pemanasan global atau "global warming" telah menjadi isu terhangat yang terhidang di dada akhbar dan sering menjadi topik perbualan komuniti antarabangsa.Pemanasan global telah disebabkan oleh beberapa faktor seperti aktiiviti pembakaran terbuka, pulau haba, dan penggunaan karbon monogsida dan karbon dioksida yang berlebihan dalam kehidupan seharian kita. Apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya hal ini tidak dibendung? terdapat pelbagai kesan yang akan timbul sekiranya perkara ini tidak dicegah.

Ternyata, pemanasan global ialah perkara yang merisaukan kita semua. Akibat sikap lepas tangan pemaju dan sikap masyarakat tempatan yang membakar sampah sarap di kawasan hutan, gas-gas tersebut dibebaskan ke udara sekeliling dan melepasi lapisan ozon. Tahukah anda bahawa karbon monoksida dapat menghakis dan menipisi lapisan ozon secara semula jadi. Lapisan ozon dapat menipis sehingga 75 peratus cahaya matahari daripada menembusi bumi. Sekiranya lapisan ozon terhakis, akibatnya pemanasan global akan berlaku secara berleluasa.

Sinaran matahari tanpa ditapis mengandungi 30 peratus sinaran radioaktif yang akan membunuh sel-sel kulit manusia. Sekiranya sinaran matahari tanpa ditapis oleh lapisan terkena pada kulit kita, tumur akan membentuk dan akan menjadi sel kanser. Hal ini akan menyebabkan penduduk bumi akan ramai yang mati akibat kenser kulit. kanser kulit sukar diubati dan penawarnya tidak ditemui oleh para saintis sehingga ke hari ini.

Seterusnya sekiranya suhu dunia melebihi paras 5.8 drjah selsius, maka ais di kutub utara dan selatan akan mula cair hal ini akan mendatangkan impak yang negatif kepada kita semua. Hasilnya purata lautan akan mencecah sehingga 95 peratus, ini bermakna banyak kawasan daratan yang akan ditengelami oleh air. Penduduk dunia akan ramai yang mati.

Pemanasan global pada peringkat awalnya akan menyebabkan migrain dan sakit kepala yang melampau. Migrain disebabkan oleh pemanasan yang melampau dan akibatnya akan berlaku pendarahan yang serius di bahagian otak. Migrain juga disebabkan oleh terkumpulnya darah kotor di bahagian otak dan hal ini akan membuatkan rasa tidak selesa kepada pesakitnya.

Pulau haba juga sering dikaitkan dengan pemanasan global. Pulau haba disebabkan oleh asab-asab yang dikeluarkan daripada asap kereta dan kilang. Asap ini mengandungi karbon monoksida yang tinggi yang akan menipiskan lapisan ozon bumi. Ole sebab itu, meminimunkan penggunaan kenderaan perlu kita dititikberatkan.

Kongklusinya, fenomina pemanasan global adalah perkara yang menghantui komuniti antarabangsa. Hal ini kerana kesannya kepada penduduk dunia amat serius. oleh itu kita sebagai sebahagian daripada penghuni bumi ini perlu mengambil kangkah pencegahan sebelum hal ini menjadi lebih serius. Jangan sampai nasi telah menjadi bubur barulah kita mahu berubah. Jangan sampai sudah terhantuk baru nak mengadah, tidak ada gunanya. Sedarlah sementara kita masih boleh berbuat sesuatu kepada dunia yang hendak kita wariskan kepada anak cucu kita ini.