USAHA JAYA BAKTI

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah menjadi sekolah berprestasi tinggi peringkat kebangsaan pada tahun 2013

Friday, 14 October 2011

MASALAH PENGANGKUTAN AWAM DI NEGARA KITA

Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
 
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.

FAKTOR MENGGALAKKAN PELANCONGAN DI MALAYSIA

.Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

BAGAIMANA MENJADI SEORANG PENGGUNA YANG BESTARI DEMI MENGATASI MASALAH EKONOMI NEGARA

.Keperluan membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna demi memantapkan ekonomi negara adalah satu agenda yang berkepentingan tinggi dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan suatu aliran “Pengguna Perkasa”. Jika pada suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh bertindak menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila menjelang sesuatu musim perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini dengan kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya bahawa kekuatan sebenarnya berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti ini telah semakin berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika tidak dibendung dengan berkesan akhirnya akan membahayakan ekonomi negara dan akibatnya masyarakat juga yang akan menanggung rugi.

Jika pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna boleh bertindak memboikot barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat pembuat barangan berkenaan, dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang “kuasa pengguna”. Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para pengguna sendiri. Contohnya apabila kita membeli tepung sekampit yang ditulis berat bersihnya 1 kilogram, adalah wajar bagi kita menimbang semula kampit tepung berkenaan dan memastikan bahawa berat bersih produk berkenaan adalah benar-benar 1 kilogram. Sebagai pengguna prihatin, kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih teliti tentang barangan yang kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang digunakan menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di tetapkan oleh kerajaan? Adakah produk berkenaan mengandungi MSG? Adakah produk itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya menepati harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa ramaikah yang akan membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin barangan yang hendak dibeli dan membuat perbandingan harga setiap produk yang dibeli? Isu-isu sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para pengguna hari ini.

Hakikatnya pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi penduduk-penduduk di negara-negara membangun dunia yang besar seperti China dan India, maka permintaan dunia untuk barangan seperti gandum, beras, minyak masak dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus juga meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos dalam proses pembuatan serta penghantaran akan terus meningkat dan ini akan menyumbang pada peningkatan harga barangan di pasaran. Faktor cuaca juga memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia. Permintaan bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk diproseskan menjadi bio-fuel atau ethanol adalah juga merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan harga barangan pasaran.

Manusia memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Akibat krisis bekalan makanan yang gagal dikawal, akan membawa kepada kemelut kenaikan harga bekalan makanan di pasaran dan ini akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi pada ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan lagi dalam usaha untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang berkemungkinan akan timbul pada masa depan. Kita sebagai pengguna yang bijak adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling efektif untuk membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga pasaran. Selain itu, akta undang-undang perlindungan pengguna yang membawa kepada hukuman yang lebih drastik mestilah terus digubal demi untuk perlindungan jangka panjang kepada pengguna.

Kementerian yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kementerian terbabit demi memastikan kebajikan pengguna benar-benar terjamin. Antara langkah-langkah berikut adalah dengan menubuhkan Stok Penimbal Kebangsaan serta Penubuhan Majlis Harga Negara. Kerajaan juga turut mengenakan larangan membawa keluar barangan kawalan dari Malaysia serta memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak mereka melalui penggubalan rang undang-undang “Akta Perlindungan Pengguna 1999” dan penubuhan Mahkamah Tribunal Pengguna. Pada masa yang sama, kerajaan juga menggerakkan sektor pertanian negara secara aggresif sebagai langkah membangunkan Sarawak sebagai “Negeri Jelapang Padi Kedua Negara”.

Tindakan-tindakan ini telah berjaya mengawal kestabilan harga barangan di pasaran dan juga dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang lain, telah dapat mengurangkan kadar aktiviti penyeludupan bahan makanan ke negara jiran. Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi langkah susulan proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna telah dapat dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan kritikal ini, telah dapat membantu untuk memangkinkan lagi ekonomi negara. Justeru marilah kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk kesedaran tentang hak-hak kita, langsung menjalankan tanggungjawab sosial kita dan juga memartabatkan diri kita sebagai “Pengguna Bestari”.

KEBURUKAN PELAJAR MENYERTAI INDUSTRI HIBURAN

Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran. 
 
Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’. 
 
Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan. 
 
Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.

Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan. 
 
Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

PERANAN PESATUAN PENGGUNA DI NEGARA KITA

Saban tahun kita kerap membaca berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan peniaga. Hal ini berlaku kerana kejahilan pengguna sendiri yang tidak tahu peranan mereka sebagai pembeli. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan persatuan pengguna dalam menangani masalah pengguna di negara ini.Sebenarnya, persatuan pengguna memainkan peranan penting untuk membantu pengguna mengatasi masalah penipuan oleh penjual.

Isu kenaikan harga barang-barang mula mendapat perhatian media massa terutama selepas kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja kerajaan. Hal ini bertambah parah apabila berlaku kenaikan harga minyak sehingga mengakibatkan penjual mengambil kesempatan menaikkan harga barangan yang dijual. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan pelbagai tindakan telah dilakukan terutama oleh kerajaan untuk membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang hanya cakap-cakap angin sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.

Dalam menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan dan menerangkan hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam. Persatuan pengguna boleh menjalankan kempen bagi menjelaskan betapa pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya membeli keperluan yang penting dan bukan berbelanja mengikut kemahuan. Kempen penerangan ini seelok-eloknya dijalankan dalam kalangan pelajar terutama pelajar sekolah agar orang ramai terdidik tentang isu kepenggunaan sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini membolehkan kesannya dirasai dalam jangka panjang apabila masyarakat terdidik dengan ilmu-ilmu kepenggunaan.

Tambahan pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama peniaga ini boleh didedahkan di dada akhbar atau di media massa yang lain untuk makluman orang ramai. Menyenaraikan nama peniaga yang tidak bertanggungjawab di akhbar pengguna dapat mengelakkan orang ramai daripada terus berbelanja di premis mereka dan secara tidak langsung akan membimbangkan peniaga daripada menipu orang ramai. Maklumat seperti ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.

Selain itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli produk atau barangan mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna. Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu oleh peniaga tetapi pengguna tidak tahu tempat untuk mengadu. Antara kes penipuan peniaga termasuklah dari segi harga, kualiti, kandungan mahupun tarikh sah luput barangan yang dibeli malah barangan yang dijual sebenarnya indah khabar dari rupa. Justeru, kehadiran persatuan pengguna dalam memberi nasihat kepada pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka amatlah besar kesannya. Keadaan ini boleh menyebabkan nasib pengguna terbela dan tidak terus ditekan oleh golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Tambahan pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya "pemerhati" senyap di antara pengguna dengan peniaga. Maksudnya, peniaga akan lebih berhati-hati sebelum cuba menipu pengguna kerana sedar setiap tindakan mereka akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa yang sama pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya. Jadi, kewujudan persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran sentiasa dalam keadaan baik kerana semua pihak sedar ada pihak ketiga yang memerhatikan keadaan pasaran ekonomi negara.

Malahan, persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri. Persatuan pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu menjual produk kepada pengguna dengan harga yang lebih murah. Kemahiran persatuan pengguna dalam hal-hal meletakkan harga barang sudah pasti memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini boleh dijadikan satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat. Dengan adanya penglibatan persatuan pengguna dalam bidang perniagaan, pengguna berpeluang memperoleh sesuatu barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah dan kompetatif. Pertandingan sihat antara persatuan pengguna dengan peniaga lain juga akan mewujudkan persaingan sihat yang bakal mengawal harga pada tahap yang sentiasa rendah.

Ringkasnya, persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di negara ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati. Cuma sejauh manakah keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab biarpun ramai pihak beranggapan bahawa badan bebas ini berfungsi sebagai payung untuk melindungi pengguna. Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pengguna masa kini.

MEMINJAM DARIPADA CETI HARAM DAN KESANNYA

Kegiatan ceti haram sememangnya tidak asing lagi pada masa kini. Malah, kegiatan ini juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah berat seperti pengedaran dadah, serta pil-pil khayal, sindiket pelacuran, dan pembunuhan. Kegiatan ini sekiranya tidak diatasi dengan segera, boleh mengundang padah bukan sahaja kepada masyarakat, bahkan juga kepada pembangunan negara. Kini, dalam era yang lebih moden, kegiatan ceti haram lebih terkenal dengan jolokan "along" dan kegiatan mereka kebiasaannya bertumpu di semua bandar di negara kita.

Isu ceti haram boleh dilihat sebagai kegiatan sekumpulan manusia menjalankan urusan meminjamkan wang haram hasil curian, pengedaran dadah dan sebagainya kepada sesetengah masyarakat yang ‘terdesak’. Pinjamannya mudah diperoleh dengan cepat kerana tidak memerlukan cagaran, penjamin, serta tidak perlu mengikut prosedur tertentu, seperti mana di institusi kewangan yang lain. Hal ini menyebabkan sesetengah masyarakat tidak berfikir panjang untuk meminjam wang daripada ceti haram.

Kesempitan hidup atau masalah beban kewangan juga turut menjadi faktor orang ramai meminjam daripada ceti haram. Hal ini dikaitkan juga dengan kos hidup yang tinggi, perbelanjaan yang melebihi pendapatan dan kerugian yang dihadapi dalam perniagaan. Tambahan pula, bagi mereka yang sememangnya berpendapatan kecil turut menganggap ceti haram sebagai jalan pintas untuk penyelesaian masalah kewangan mereka. Lantas, mereka bertindak dengan meminjam wang daripada ceti haram dan tidak memikirkan risiko yang bakal dihadapi kelak.

Namun begitu, terdapat implikasi buruk daripada kegiatan ceti haram ini. Bagi ceti haram, mereka akan menjejaki si penghutang sehingga ke ‘lubang cacing’ dan akan memberikan amaran pertama, kedua dan seterusnya kepada si penghutang. Sekiranya si penghutang tidak mampu untuk melangsaikan hutangnya, maka ceti haram tidak akan teragak-agak untuk mencetuskan keganasan berupa penderaan dan juga pembunuhan. Malahan yang lebih menakutkan, ceti haram juga akan menjejaki keluarga si penghutang untuk dijadikan tebusan bagi mendapatkan semula wang mereka. Jika tidak pun, rumah mereka akan disimbah cat atau keluarga mereka dimaki hamun sebagai cara untuk memalukan si peminjam agar melangsaikan hutang mereka. Malangnya, tindakan ganas ini bagaimanapun masih tidak menyedarkan ramai pihak agar menjauhi ceti haram berkenaan.

Bagi si penghutang, ancaman berterusan yang diterima daripada penceti haram menyebabkan mereka semakin tertekan dan bagi mereka yang lemah dari segi iman dan pendidikan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan membunuh ahli keluarga sebelum bertindak membunuh diri sendiri supaya penceti haram tidak dapat menjejaki mereka sekeluarga. Apa tidaknya, bunga yang dikenakan oleh ceti haram bukanlah calang-calang tingginya. Pinjaman seribu dua mungkin boleh mencecah puluhan ribu dalam tempoh yang singkat sehingga menyebabkan si penghutang tidak mampu membayar hutang mereka. Hal seperti inilah yang sepatutnya menjadi perkiraan utama kepada orang ramai sebelum membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan ceti terbabit.

Intihanya, masyarakat hari ini hendaklah bersatu tenaga bersama-sama pihak berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah ini daripada berleluasa. Hal ini perlu untuk menjaga keharmonian, keamanan dan kestabilan dalam negara. Pihak berkuasa perlulah bertindak tegas kepada ceti haram dan juga pihak yang membuat pinjaman kepada ceti haram berkenaan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai alternatif agar orang ramai meminjam daripada institusi kewangan yang diiktiraf seperti pihak bank. Jadi, tidak timbul isu mengapa kita tidak boleh melepaskan diri daripada cengkaman ceti haram demi mengatasi masalah kewangan kita.

AMALAN BERJIMAT CERMAT

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.